Bangkitnya Ilmuan

by Ikhwan

Ilmu itu umpama cahaya yang sentiasa menerangi ruang yang gelap. Tak siapa mahu terkubur dalam kegelapan. Oleh itu carilah ilmu, agar ia menjadi penyuluh jalan kehidupan. Seketika itu juga hati akan menjadi tenang. Dada terasa lapang, bagai mendapat hela nafas yang baru. Minda laksana pisau terasah tajam. Seluruh anggota tubuh terasa terisi dengan tenaga baru. Ilmu lama atau baru, tetap memberi tenaga berterusan. Namun jalan mencapai ilmu itu bukan mudah. Harus menempuh satu perjalanan yang panjang dan sukar. Mengerah tenaga, berhempas pulas mencari rezeki ilmu. Sudah pasti hasil yang lumayan ini tak mampu menyekat perjuangannya. Penat badan langsung tak menghentikan azam. Bahkan usahanya kian berganda. Bukan hendak mendapat pujian “dialah ilmuan”. Tetapi ingin keluar dari kemelut minda sempit. Ingin bebas dari cengkaman jahiliyah yang kononnya juga memperjuangkan “kebebasan”…

Wahai para penjajah ilmu. Tawanlah kota ilmu dengan segala yang tersimpan dalam diri kalian, agar satu hari nanti, kalian pula yang akan menjadi penyebar ilmu. Ilmu itu telah sekian lama tersimpan dalam otak manusia yang tak berguna. Ilmu tinggi tapi salah tafsirannya. Rampas ilmu itu dari mereka, kerana ilmu itu asalnya benar. Rampas! Dan kalianlah, wahai para ilmuan yang sebenar, akan menjadi penegak ilmu yang benar. Siapa ilmuan itu?

Mereka asalnya manusia biasa. Dulunya kecil seperti orang lain, bermain di tebing sungai. Sama seperti anak kecil yang lain. Asal dari kandungan juga. Namun hidup tak terus terbazir. Di masa kecil, walau jadual penuh dengan sukan, semuanya demi pengalaman. Meningkat usia remaja, ilmu kian bercambah. Bukan saja dalam akal bahkan kemas tersemat dalam jiwa. Menanti masa dengan penuh sabar. Ada ilmu yang segera diguna. Ada ilmu, menanti masa bila hendak menggegar dunia.

Mereka, ilmuan terus bangkit tanpa tunggu ajakan atau paksaan. Bukan hendak memperjuangkan semangat orang lain, tapi hendak membela apa yang benar. Itu sahaja niat mereka. Setiap malam tidur tak lena, cuba sedaya upaya untuk sucikan jiwa agar tak kotor. Niat mereka ikhlas. Hanya kerana Allah. Subhanallah mereka pemuda berilmu, gagah perkasa pantang terlena. Pantang lapang, terus bangkit menyebar dakyahnya.

Hari ini, di mana ilmuan itu. Kita tak kan terus menanti ajakan mereka. Kerana mereka memang tak akan ajak kita. Mereka itu sebenarnya adalah kita. Jika kita menanti mereka mengajak kita, alamatnya lesaplah tamadun. Sedangkan di luar sana, semua penghuni bumi menanti ajakan kita. Kita, generasi berilmu, ilmuan berjiwa suci yang tunduk bukan pada kaki sang penjahil. Ilmuan hanya mengabdi pada Maha Pencipta. Bukan perosak anak bangsa. Bukan pencemar agama kita.

Di mana ilmuan itu berada sekarang? Bangkitnya ilmuan bukan dengan semangat yang terseleweng. Tapi dengan faham yang begitu jelas. Dengan penuh kesedaran apa itu maksud sebenar perkataan “benar”. Bukan dengan sebutan-sebutan kosong sahaja. Ilmuan itu penuh dengan faham. Mereka faham di mana saja mereka berada, mereka tetap perlu bangkit.

Ilmuan yang benar dan faham akan hakikat kebenaran tidak akan tunggu sehingga mentari terbenam baru hendak mencari cahaya. Bangkit tak kira siapa. Tak kira apa orang kata. Tolak tomahan itu ke tepi. Mereka lantas menyebar apa yang benar. Hanya mengharap redha Ilahi.