Tuhan Jangan Kau Lupa Padaku

by Ikhwan

“Setengah orang ada karamah jalan atas air.. Ada karamah terbang… Aku rasa kalau dapat karamah kan seronok.. Hari yang aku basuh baju, mesti cuaca panas… Cepat kering..” Aku bercakap sendiri dalam hati. Andaian yang indah. Agar Allah membantuku dalam setiap urusan hatta membasuh pakaian.

Pagi tadi sempat basuh baju. Ya memang cuaca cerah dan panas. Baju pun dah hampir kering semuanya. Selesai solat zohor, aku terpandang langit yang cerah dan panas. Mungkin ada segelintir manusia yang mengharapkan hujan di luar sana. Negeri atau negara yang tandus. Tanaman yang tak tersiram dengan tenaga badan. Masing-masing mengharapkan hujan. Tuhan itu Maha Adil. Dia memberi mengikut pengetahuanNya. Dan pengetahuan kita adalah terbatas sekadar ilmu yang diberi olehNya.

“Hurmm.. Kalau hujan masa aku sidai pakaian, kena terima jugak…” Kita tidak ada kuasa. Karamah itu pemberiannya. Nikmat cerah dan panas. Hujan juga adalah nikmat. Kita terima dengan redha. Jika hujan juga, adakah kerana itu bukan karamah? Karamah… Satu nikmat yang diharapkan sesetengah manusia yang telah lama mendekatkan diri dengan Allah. Tidak, bukan itu yang kita harapkan. Jika sibuk menanti karamah, kelak kita akan menjadi takbur. Berjalan di atas air, kayu reput juga boleh terapung.

Balasan hakiki bukan di dunia ini. Yang kita harapkan adalah kita mampu beristiqamah pada jalanNya. Walaupun hujan turun setelah sidai baju, itu hikmah yang ingin Dia ajarkan kita. Jangan sampai kita terleka dengan nikmatNya. Manusia mudah lalai dengan kesenangan. Berharaplah agar Dia tidak melupai kita.

Orang beriman sentiasa diuji. Jika peroleh nikmat, bersyukur dan tingkatkan kualiti amal. Selagi tidak melupai Dia, InsyaAllah Dia tidak lupakan kita.

Advertisements