Yakin diri sendiri?

by Ikhwan

Semester baru dah masuk. Dengan makna lain, dah masuk tahun akhir, tahun paling susah lah seperti kebanyakan realiti di mana-mana kampus. Hari ketiga lagi dah start sibuk. Boleh nampak dah macam mana kehidupan semester ni. Bagaimanapun kita tak leh lalai macam tu saja. Mesti ada persiapan dan perancangan rapi untuk menghadapinya. Langkah pertama bermula dari diri anda. Adakah anda yakin melaluinya? Selepas melihat markah sem lepas, adakah masih bersemangat? Jika dapat teruk masih yakinkah untuk hadapi subjek lebih berat? Antara subjek paling sibuk adalah subjek Projek Tahun Akhir. Sebab banyak masa perlu diluangkan.

Diri anda bagaimana? Sekadar kemampuan yang saya ada, saya hanya mampu bercerita tentang diri saya terlebih dahulu. Seperti biasa. Keputusan sem lepas lebih rendah dari sem yang sebelumnya. Menyebabkan saya sentiasa celaru kos apa yang saya nak sambung semasa master nanti. Itu soal pendidikan. Bagaimana pula soal peribadi? Saya ada urusan peribadi yang turut memerlukan penjagaan masa terutamanya disiplin nak jaga kesihatan. Cukup time kena pakai ubat ni, ada hari kena pakai ubat itu pulak. Hakikatnya saya tak pernah disiplin langsung dan kalau ya pon, sebentar saja. Dan bagaimana saya atasinya pada semester kali ini. Dan hal ini bukan perlu dipandang remeh. Kerana ia melibatkan masa dan masa itu kehidupan.

Pada peringkat awalnya saya sangat teruja untuk mengambil langkah dengan yakin pada diri sendiri. Kerana tanggapan saya bahawa saya ini selalu tidak yakin pada diri saya. Pada sejarah yang lepas saya melihat kehidupan saya ini seperti kurang yakin pada apa yang tersembunyi dalam diri saya. Sedutan dari itu saya amat kagum dengan semangat yang ada pada beberapa tamadun dari rata-rata benua yang telah melakar sejarah penerokaan ilmu dan kuasa besar. Dan ini membawa saya untuk membangkitkan semangat yakin pada diri sendiri. Namun peringkat demi peringkat saya merenung kehidupan tamadun terutamanya di Jepun, mereka ini bangsa yang cukup bersemangat. “Will Of Fire” yang membakar semangat untuk terus maju. Pada awal dahulu mereka percaya pada semangat nenek moyang mereka. Kemudian mereka yakin pada diri mereka pula. Sehinggalah mereka akhirnya menjadi atheist. Tidak ada agama dan kepercayaan. Mereka tidak ada tuhan. Sebaliknya merekalah tuhan kepada diri mereka sendiri. Dan mereka jugalah telah menjadi hamba kepada diri sendiri. Menyembah diri sendiri. Kesan dari semangat yang tidak dipandu oleh ilmu yang jelas dan benar. Di situ ada bahayanya jika kita lalai.

Keyakinanku pada siapa? Adakah aku tidak yakin pada diriku sendiri? Saya yakin bahawa diri saya boleh melakukan segalanya, hanya dengan izin Allah. Tapi yang saya sangat yakin, adalah bahawasanya kegagalan saya dalam mencapai sesuatu kerana saya telah gagal untuk yakin pada Allah. “Aku sem ni konfem 3.00 dalam tangan dah…” “sem ni kita jadi bagus skit…” Tapi kita selalu lupa untuk bergantung kepada Allah. Sedangkan semangat yang membakar dalam diri kita ini, Allah juga yang memberinya. Allah lah yang melahirkan perasaan gelora ingin mencapai peringkat tinggi dalam kejayaan.  Maka hasil dari renungan itu saya telah bermuhasabah untuk kembali mengikut jalan yang telah saya lupa.

Buku, sebanyak manapun anda membacanya, selagi Allah tidak ingin membuka pintu hati hambaNya, Dia pasti tak akan buka. Dan saya syukur kerana saya belum dikurniakan kejayaan cemerlang. Hanya kejayaan biasa sahaja. Saya sebut juga kejayaan, walaupun pada sesetengah pihak ia adalah kegagalan. Kerana saya ingin melahirkan rasa syukur. Dan dengan rasa syukur ini saya cuba kembali untuk mengikat hubungan saya dengan Maha Pencipta kita Allah SWT.  Kerana saya yakin, hanya dengan kembali kepadanya akan menjadikan kita insan yang lebih yakin kepada diri sendiri melalui cara yang benar serta tidak melanggar syarak.

Kejayaan itu milik siapa? Haiya ‘alal Falah!!! Itu seruan Tuhan. Maka saya yakin, kejayaan itu datang dari Allah. Dan dengan keyakinan ini kita berusaha keras sebagai tanda syukur dan sebagai tanda kita faham benar dengan ayat-ayat Allah mengenai tuntutan untuk beramal secara bersungguh-sungguh.

Apa guna longgokkan “A”, jika hati dan minda tidak dipadukan ke arah Pencipta kita?

Belum tibakah masa untuk kita khusyuk?

Advertisements