You are what you eat!

by Ikhwan

Choose and then eat

Ilmu

Bagi mereka yang telah menyalurkan minat mereka ke arah membaca, sudah pasti mereka ini telah membaca banyak buku. Maksud saya di sini adalah, pelbagai jenis buku. Segala cabang mereka telah membaca. Begitu juga dengan kita yang gemar membaca, pasti pelbagai jenis ilmu yang telah kita pelajari. Walaupun tidaklah mendalam, namun dengan sedikit ilmu itu telah mampu membuatkan akal kita berfikir secara meluas. Akan tetapi, bagaimana pula dengan tindakan kita?

Perbezaan

Jika ada racun dalam makanan, kita masih boleh menyentuh racun itu, asingkan, buang dan kembali makan. Begitu juga dengan ilmu, ada ilmu yang kita tidak telan begitu saja. Namun masih lagi kita dapat pelajarinya, agar dapat kita asingkan dari kehidupan kita. Tindakan seseorang itu salah satu faktornya adalah berdasarkan ilmu pengetahuannya. Apa yang telah dia pelajari, maka ilmu itu akan mempengaruhi mindanya, kemudian hati, dan akhirnya diterjemahkan ke dalam bentuk amal. Perkara yang paling penting di sini, adalah sebelum kita mempelajari sesuatu ilmu itu, harus kita mengenal pasti kebaikan dan keburukan di sebalik ilmu tersebut. Sudah tentulah ilmu yang baik tidak akan ada keburukan. Baik dan buruk itu adalah sesuatu yang jelas. Manakala sesuatu yang samar itu, janganlah kita terus mengambilnya untuk diamalkan. Amal yang baik adalah menurut ilmu yang telah kita pelajari.

Elemen

Ilmu itu amat penting dalam kehidupan kita. Namun bagaimanakah caranya untuk memiliki ilmu. Seringkali terjadi dalam kehidupan kita, satu fenomena yang adakalanya tak dapat kita menghalangnya. Diri kita ini, di samping akal dan fizikal, kita ada satu lagi elemen yang perlu kita fahami iaitu spiritual. Ketika akal kita telah membaham sesuatu ilmu itu, maka ia akan pergi ke hati. Pada ketika itu, amal kita tidak bertindak mengikut akal sebaliknya hati kita. Walaupun ianya dianalisa oleh akal kita, namun ia datang dari hati kita. Jika baik hati kita, maka baiklah amal kita. Maka sebelum kita menempatkan sesuatu ilmu itu ke dalam hati kita, perlulah kita gunakan akal kita sebaik mungkin bagi memahami adakah perlu untuk ilmu itu dihadamkan ke dalam hati.

Kuasa

Sekalipun ilmu itu adalah ilmu yang baik, dan telah berjaya dicerna oleh akal kita dan disimpan ke dalam hati, namun masih belum tentu kita dapat melaksanakannya. Betapa ramai manusia yang mempelajari apa itu solat, kemudian cuba memahamkan kewajipan serta kepentingannya, namun masih tidak dapat melaksanakannya. Ada juga yang telah berjaya melaksanakannya dengan penuh rasa khusyuk, selang beberapa hari dia sudah tidak berjaya untuk melaksanakan solat itu lagi. Boleh saja hati itu tadi telah dicampuri dengan sesuatu yang kurang baik. Perkara yang kurang baik ini sebenarnya datang dari akal kita, kemudian kita meresapkannya ke dalam hati kita.

Punca

Walaupun kita mampu meletakkan sesuatu ilmu itu ke dalam hati kita setelah akal kita mengkaji ilmu tersebut dengan baik, namun masih ada beberapa ilmu yang tidak baik yang masih mampu masuk ke dalam hati kita. Ini berlaku ketika hati kita tidak lagi dikuasai oleh ilmu yang baik. Bila hati kita terkunci, maka kebaikan atau ilmu yang baik itu tadi tidak dapat diaktifkan sekaligus membenarkan ilmu yang tidak baik itu dihayati. Sekalipun akal kita mengatakan “tindakan ini adalah salah”, namun hati kita tetap bergelora dan membara untuk menggerakkan ilmu yang salah itu. Jika kita tidak berjaya mencari kunci untuk membuka ruangan ilmu yang baik itu, maka selagi itulah perbuatan fizikal kita akan menurut spiritual buruk kita itu.

Deria

Dari mana sebenarnya datang ilmu buruk itu? Sebelum sesuatu ilmu itu masuk ke dalam hati kita, ia terlebih dahulu melalui akal kita. Dan apa sahaja yang masuk ke dalam akal kita, adalah datang dari sekeliling kita sendiri. Ini adalah dengan melalui panca indera kita sendiri. Segala bentuk yang dapat dianalisa oleh kita akan bertukar menjadi ilmu, maka ia akan secara automatik masuk ke dalam akal kita. Akan tetapi ianya bergantung ke atas kelebihan kita dalam menganalisa persekitaran ataupun sumber ilmu itu sendiri. Seperti seorang anak kecil yang belum tahu membaca, walaupun dia sedang menyentuh dan melihat tepat ke arah tulisan, dia tetap tidak dapat menganalisa tulisan tersebut menjadi ilmu.

Fitrah

Akal , hati dan fizikal amat berkait rapat yang menjadikan seseorang manusia itu sebagai ciptaan Allah yang cukup hebat, atau dengan kata lain, sempurna. Kerana itu kita harus mengenali diri kita sebagai manusia yang dilengkapi dengan kelebihan serta kekurangan. Dengan mengenali kekurangan diri, dapat membentuk kita menjadi seorang yang berkebolehan serta berkemampuan untuk menjadi insan yang baik.

Personaliti

Seperti halnya seseorang yang sedang khusyuk membaca kitab tasawuf, hatinya bergelora berkisar menurut tulisan-tulisan yang ada di dalam buku tersebut. Serta-merta hatinya menjadi tunduk di hadapan Allah, merasakan dirinya lemah di sisi Allah. Kemudian dia duduk termenung dirinya. Sudah pasti buku itu hanya membincangkan sudut ilmu tasawuf sahaja. Kemudian dia beralih membaca buku jihad, dan dengan automatik personalitinya berubah menjadi seorang yang bersemangat mujahid dan ingin segera berjuang di jalan Allah. Fizikalnya menjadi aktif dan hendak bekerja tanpa henti. Ini adalah satu kesalahan yang sering pembaca-pembaca lakukan.

Kombinasi

Harus kita ingat, buku atau apa saja sumber ilmu yang kita sedang rujuk ( baca ), jangan kita asingkannya dari ilmu-ilmu yang lain. Ilmu itu ada klasifikasinya. Namun klasifikasi itu dibuat bukan untuk dipisahkan dari penghayatan. Setelah kita mendalami ilmu tasawuf, kita tanam ia baik-baik kedalam hati kita. Kemudian kita ambil pula buku jihad, dan kita gabungkan segala ilmu yang baik itu, agar kita menjadi manusia yang baik.

Fikrah

Manusia yang sempurna itu ada dua cirinya. Yang pertama adalah mengetahui yang baik dan yang buruk, yang kedua adalah melaksanakan yang baik dan tinggalkan apa yang buruk. Bukan mudah untuk menjadi sempurna iaitu dengan menguasai semua jenis ilmu, kemudian melaksanakan ke semuanya sekali. Kita adalah manusia yang dikelilingi oleh kebaikan dan juga keburukan. Adakalanya kita dikuasi oleh keburukan. Oleh itu perlulah kita sentiasa dalam keadaan berhati-hati, berwaspada, berada dalam keadaan terkawal, pengawasan, serta pergantungan kepada Allah SWT. Sekiranya kita membaca terjemahan Al-Quran, Taqwa = Taqwa. Tapi bila diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris, Taqwa = careful. Waspada itu merupakan sifat utama seorang muslim dalam rangka memastikan dirinya tidak terjatuh dari landasan keimanan. Dan juga dalam rangka menjadikan akal, ruhani serta jasmaninya dalam keadaan yang sentiasa beriman kepada Allah.

Semoga Allah meningkatkan iman kita…

Sebelum kita makan sesuatu makanan, kita kena kenal apa yang kita hendak makan. Jika tak kenal, bagaimana hendak kita makan. Jika kita tidak suka makan makanan tersebut, kita tetap kena kenal makanan tersebut, kerana nanti, mungkin orang yang kita sayang juga akan makan makanan itu. Jika ianya adalah racun, anda boleh bertindak… 🙂

Carilah ilmu walaupun belum tiba masanya untuk diamalkan…

Advertisements