Sedar

by Ikhwan

Kesedaran kita hanya sebentar

Mungkin kita menganggap bahawa kita akan mati dalam masa 3 hari lagi. Ya. Mungkin kita ada kesedaran pada saat itu. Namun setelah berlalunya hari pertama, kesedaran tadi kian menipis. Lama kelamaan kita mula terlalai dari memikirkan kematian kita tadi. Lalu kita kembali tidak taat pada Allah.

Perkara ini memang sering berlaku dalam hidup kita.

Bagaimana hendak beristiqamah?

Kesedaran sahaja tidak akan mencukupi. Seperti contoh kita membaca surah Al-‘Asr.. Kita telah membaca ayat berkenaan orang-orang yang rugi. Sekaligus kita mendapat kesedaran bahawa kita sekarang ini, memang dalam keadaan rugi. Bahkan sehingga bercucuran air mata kita mengenangkan ruginya umur kita.

Ia tidaklah terhenti di situ sahaja. Kita sebagai muslim, telah bersaksi untuk menjadi hamba Allah serta mengikuti Rasulullah. Menjadi pengikut Rasulullah bukanlah hanya dengan berangan-angan. Tetapi hendaklah penuh dengan perancangan. Bila kita membaca ayat tentang kerugian, ambillah masa yang singkat untuk merancang satu pelan untuk diri kita. Duduk sebentar dan tuliskan ke mana masa kita telah terbazir. Senaraikan dan jadualkan aktiviti kita.

Kesan tiada jadual

Bagi kita yang tidak ada jadual harian, mungkin kita akan beramal tidak mengikut susunan. Sekejap awal sekejap lewat. Itu masih OK lagi. Tapi yang lebih parahnya, tanpa jadual kadangkala kita akan terus lupa untuk beramal. Kita terus saja lupa. Kerana kita memang masih ada banyak kerja yang hendak dibuat. Sudah pastilah kerja kita akan bercampur aduk.

Cuba anda ambil semua fail-fail dan kertas kerja anda, selerakkan di atas meja anda. Cari meja yang kecil sahaja. Meja ini umpama masa anda. Masa tidak akan berubah menjadi panjang. Ia tetap sehari adalah 24 jam. Sekarang cuba anda cari satu fail atau dokumen. Anda telah menghabiskan masa hanya dengan mencari fail sahaja. Kadangkala tak jumpa langsung.

Hidup mestilah ada perancangan, walaupun Allah telah memberi taqdir…

Allah menilai kita mengikut ketaqwaan kita. Dan orang yang merancang, adalah orang yang sedang cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang yang bertaqwa. Walaupun kadangkala perancangan anda tidak pernah tercapai, namun sepanjang usaha anda untuk mencapainya, tetap di kira sebagai amal. Allah itu Maha Pemurah. Sampai masanya, anda pasti mendapat pulangan yang lebih.

Berusahalah

Kesedaran itu adalah anugerah Allah. Seterusnya Allah serahkan pada kita tanggungjawab untuk menjaga kesedaran itu tadi. Jika lahir darinya perancangan, insyaAllah pasti ada bantuan Allah.

Percayalah!

Advertisements