Perlahan tapi jauh

by Ikhwan

Keadaan yang sering kita hadapi semasa cross-country atau merentas desa. Ada yang suka lari laju. Sekejap lagi kita lihat dia sedang berjalan. Kemudian kita memotongnya dengan perlahan-perlahan. Seperti biasa, setelah dia rasa bertenaga dia terus berlari semula, memotong kita dengan laju. Di hadapan sana dia kembali berjalan keletihan. Sampai pada satu ketika, dia sudah tidak dapat berlari lagi. Sedangkan kita masih lagi bertenanga. Orang itu, jangan kita ikut rentaknya. Kelak dia akan berhenti lagi.

Manusia itu ramai, begitu juga ragamnya

Kita hidup di muka bumi ini, tanah yang sama, angin yang serasi dengan kita, dikongsi bersama. Namun manusia tetap berlainan. Tak semuanya sama, walau sudah digaris apa yang perlu buat kita. Kita jarang sama. Kadangkala kelihatan sama, itu cuma luaran. Dalam siapa tahu kita berlainan. Di suatu masa, dalam itu akan merubah luaran. Maka luaran pula yang menjadi lain. Inilah hakikat penciptaan insan. Masing-masing punya cita rasa.

Jadilah diri kita sendiri

Ada manusia mudah terpengaruh. Sedikit angin berubah haluan, dia juga turut terpukul. Terus saja mengikut arah laju angin. Manusia ini, bodoh orangnya. Mungkin ini bahasa kasar. Tapi bodoh itu selayaknya bagi insan. Insan memang tak punya ilmu. Hatta penulis sendiri masih perlu mencari ilmu. Kita manusia perlu beramal. Amal kita, mestilah berdasarkan ilmu. Maka amal atas ilmu itu, bukanlah amal yang bodoh. Sedang amal tanpa ilmu, bakal terjerumus ke dalam lubang yang gelap. Sesat tak jumpa jalan cahaya. Itu pesan mereka-mereka yang terdahulu.

Bodohkah kita?

Kita bertanya pada seorang sahabat kita. “Baju aku terkena najis, kemudian aku sucikannya, namun masih ada sedikit kesan warna yang kekal. Aku boleh solat?” “Alah kau solat saja, jangan hirau semua itu.” Lantas kita terus ikut katanya. Sedangkan dalam solat tadi, hati tak pernah tenang memikirkan kebersihan kita. Itulah tindakan bodoh. Ikut saja apa kata orang.

Menelan pujian memuntahkan tawaduk

Di sini juga tempat tersimpannya kebodohan kita. Kita adakalanya hebat. Adakalanya Tuhan beri berkat, beri rahmat, beri nikmat. Alhamdulillah kita syukur macam selalu. Tapi sekali dipuji, teringat-ingat pujian tadi, dibawa pulang sampai ke dalam mimpi. Orang ini, tak patut kita gelar ilmuan. Kelak, tiada puji, tiada lagi rasa nak berbakti. Hilang budi hilang sakti. Hilang jiwa insani. Terus menerus menjadi hamba kepada duniawi. Sedangkan yang dia muntah adalah tawaduk, walau pahit dan perit, tawaduk itu sangat cantik.

Biar rendah tetapi tinggi

Adab manusia penuh seni. Ukiran bahasa bangsa, budaya si anak kekal di hati raja. Biar apa pun pangkat, setimbun harta, juga beristeri empat, kita ikut resmi padi. Ada mata yang memerhati, mengusik jiwa, mencetus bara, mengutuk senja, mengata di belakang kita. Namun kita tenang, Dia juga memerhati, bahkan Dia memerhati setiap insan. Kita yakin pada nilai yang tinggi ini.

Perlahan tapi jauh

Kita teruskan langkahan azimat ini. Langkah kita perlahan. Kadangkala tersangkut dahan, terpijak duri, itu lumrah kehidupan. Mengapa perlu dunia dan syurga itu, dua tempat yang senang? Cukuplah syurga itu sebagai tempat bahagia. Kebahagian di dunia ini, ada pada kepayahannya. Kita melangkah perlahan, namun kita lebih teliti. Kita pasti sampai dengan selamat.

Advertisements