Waktu paling indah

by Ikhwan

Waktu yang paling indah. Itulah waktu subuh. Walaupun bising dengan kejutan ayam yang tak henti-henti berkokok, namun bunyi-bunyi yang datang dari luar rumah pada waktu itu seakan-akan cuba hendak menghasilkan sebuah irama yang mengasyikkan. Membuatkan setiap insan pada waktu tersebut bertambah khusyuk untuk terus tidur.

Waktu inilah cuaca sangat dingin. Nak sentuh air pon malas sebab terlalu sejuk. Kalau mandi pasti menggeletar tubuh. Jadi ramai yang membuat keputusan untuk bangun lewat.

Pengalaman saya menjaga adik semasa cuti. Kalau hari minggu, dia akan bangun awal untuk siap-siap ke sekolah. Tapi hujung minggu dia bangun lewat sikit sebab tuisyen mula pada pukul 8.30 pagi.

“Cuba kalau setkan minda tu nak bangun subuh, mesti boleh bangun awal setiap hari”, ni lah ayat yang selalu umi bebelkan pada adik.

Ya sama juga bagi saya ketika kecil-kecil dulu.

“Ish umi ni, orang tau la nak bangun…” merungut dalam hati… Tapi bila dah dewasa, baru faham susahnya bertarung nak bangun awal. Bila dah istiqamah agak lama, baru terasa mudah. Tapi kadang-kala ada juga terlajak.. Perlu terus mengharap dari Tuhan.

Tapi pagi ini sangat memberi pengajaran buat jiwa dan akal saya. Sekaligus berpesan pada tubuh saya agar tetap tabah berusaha untuk bangun subuh.

Pagi ini di masjid Kampung Parit Kuari, Batu Pahat, Johor… Saya solat berjemaah di situ. Alhamdulillah tak mungkin terlepas dari saf pertama kerana memang hanya satu saf sahaja setiap hari. Kecuali bila ada event tertentu seperti solat jumaat dan lain-lain.

Dan pada subuh kali ini, saya solat bersebelahan dengan seorang atok yang cukup tua fizikalnya, namun keazamannya lebih muda dari saya. Sudahlah atok ini kecil orangnya, pendek dan kurus, tulang belakangnya pulabongkok. Tetapi masih mampu memandu kereta Proton Saga untuk ke masjid.

Ketika angkat takbir, tubuhnya menggeletar. Saya tidak pasti, samada kerana sakit tua, ataupun khusyuknya hati seorang atok, juga seorang hamba Allah. Tapi jelas jari-jemarinya terketar. Bahunya bergoyang. Tubuhnya nyata tak stabil. Bacaannya jelas di telinga saya. Hampir tak khusyuk seketika melayan atok tersayang ni.

” wa mahyaaya wa mamaati”… sebutan ini… sebutan yang keluar dari mulut atok jelas saya dengar… di saat itu juga hati saya terketuk lalu menangis dengan perlahan. Dan terus menangis sambil mendengar bacaan imam… Al-Fatihah, kalamullah yang cukup untuk membuka pintu hati yang sedang terkunci. Ibarat master key bagi kita yang kehilangan kunci. Maka tangisan tadi bertambah-tambah sehingga ke akhir salam.

Seusai solat, wirid dan doa secara berjemaah, saya bangun dan sandar di tiang masjid. Menghayati sisa hidup berbaki.

Ini hikmah orang tua:

Wahai orang tua

Kalian hidup bersama kami, orang muda

Kalian membaca Iftitah yang sama

Yang kami juga membacanya

Namun kalian sangat terasa

Akan ajal yang bakal tiba

Kami orang muda yang alpa

Kami si pelupa

Menghayati sejenak tubuh yang menggeletar kerana sejuk air wuduk. Sedangkah atok tadi, tubuhnya menggeletar setiap masa, namun masih gigih ke masjid. Orang tua bila sebut tentang mati, mereka tunduk merasakan ajal itu ada di hadapan mereka. Tapi orang muda bila diceramahkan panjang lebar tentang mati, langsung tidak ada rasa di hati.

Sedangkan mati itu tak kira usia…

Jiwaku dan akal memaksa tubuh dan berpesan dengan penuh hikmah pada setiap sel.

Wahai orang muda

Usia tubuh makin tua

Selagi tenaga masih ada

Jangan simpan sampai binasa…

Advertisements