“Hebatnya mereka”

by Ikhwan

Assalamualaikum salam sejahtera pada semua pembaca. Semoga sentiasa berada dalam perlindungan Allah Al-Muhaimin…

Kita seringkali mendengar kisah-kisah hebat orang yang ada di sekeliling kita mahupun yang telah pergi. Kadangkala bila kita terdengar atau terbaca tentang mereka, kita bertambah semangat. Namun ada ketika kita terasa cemburu dan terasa lemahnya diri kita.

Kita dihasut minda kita sendiri sehingga berkata ” Alah aku buat ikut cara yang aku mampu je lah…” “Nak buat cam diorang aku tak mampu, nak buat camna dah aku ni lemah”…

Perkataan-perkataan yang bermain dalam minda kita ini hanya membantu untuk melemahkan kita sahaja. Bahkan sehingga menyebabkan timbul rasa dengki dan iri hati ke dalam jiwa dan pemikiran kita. Lama kelamaan perangai dan tingkah laku kita akan berubah menjadi seperti musuh kepada mereka, sedangkan mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan.

Puncanya adalah…

1. Kita belum lagi berusaha.

Disebabkan kita belum lagi berusaha maka kita tak akan dapat merasai nikmatnya orang yang bekerja. Apabila kita tidak dapat merasai nikmat tersebut, maka kita akan cemburu dengan nikmat yang diperolehi oleh orang lain. Kita cemburu melihat seseorang itu menjadi pemimpin negara adalah kerana kita belum lagi berusaha bekerja sebagai pemimpin. Kita boleh menjadi pemimpin di rumah kita atau pun di institusi pengajian kita. Setelah itu baru kita akan dapat merasai nikmatnya.

2. Tidak tahu bezakan nikmat

Lemahnya diri kita apabila kita tidak dapat nak membezakan yang mana satukah menjadi kebaikan atau manfaat, dan mana satukah menjadi kerugian atau tiada apa-apa manfaat. Seperti contoh kita cemburu melihat seseorang itu menggunakan telefon bimbit yang mahal dan canggih, sedangkan telefon tersebut bukanlah keperluan bagi kita. Andai kita miliki telefon tersebut pun, kita tidak dapat menggunakannya secara maksima. Ini bermakna kita sudah salah meletakkan rasa cemburu kita. Maka apabila kita sibukkan diri kita dengan melihat orang lain, sedangkan ianya tidak perlu, maka kita akan lama-kelamaan menjadi insan yang lemah.

3. Niat yang tidak ikhlas.

Apabila niat kita tidak lagi ikhlas dalam beramal, maka kita akan lebih mudah menjadi lemah. Jika kita solat dua rakaat dan sahabat kita solat empat rakaat, kemudian kita cemburu lalu kita mula membawa diri kita ke dalam khayalan sambil menuduh diri kita lemah, tanpa melakukan apa-apa perubahan, maka ini tanda niat kita telah salah. Jika kita beramal hanya kerana Allah, kita tidak akan mudah menjadi lemah. Cemburu melihat orang beramal lebih banyak dari kita, kemudian kita terus berubah, itu tidak salah. Namun harus kita ingat, melaksanakan sesuatu atau meninggalkan sesuatu mestilah kerana Allah. Nescaya Allah akan berikan kita kekuatan yang tak kan runtuh dengan izinNya.

Mari selesaikannya…

1. Cerahkan jalanmu…

Sebelum anda mula bergerak, pastikan dahulu bahawa setiap gerak tubuh anda hanya kerana Allah. Tidak mengharapkan satu pun dari orang lain tetapi hanya Allah. Hanya mencari redhaNya semata-mata.

2. Teruskan kerja anda

Fokus pada kerja anda dan cuba untuk bekerja sebaik mungkin. Jika anda tahu anda mudah lemah, maka tingkatkan kehebatan diri anda. Namun harus ingat jangan setelah anda menjadi hebat, kemudian amalan anda terhapus dengan sikap riya’ dan takbur. Jangan hebahkan pada semua orang akan kehebatan anda. Sebaliknya menggunakan kekuatan anda untuk Islam dan orang Islam.

3.Berlapang dada.

Sentiasa bersikap terbuka terhadap orang lain. Bersedia untuk menerima komen orang lain, ini akan membantu kita untuk menjadi lebih bahagia dalam kerja kita. Dan ini akan menjadikan kita lebih hebat dari biasa.

4. Tak semestinya menjadi ikon

Hendak menjadi hebat? Bukan tetapi hendak menjadi hamba Allah yang sangat bertaqwa, dan ikhlas dalam ketaqwaan hanya kerananya. Jika masyarakat sudah mengangkat kita sebagai ikon, maka itu satu hadiah dari Allah, agar kita terus bekerja dalam lapangan yang lebih luas. Makin tinggi pangkat, kerja makin berat. Harus kita ingat perkara sedemikian.

5. Tidak mensia-siakan tanggungjawab

Bagaimana tanggungjawab itu tersia-sia? Iaitu apabila sesuatu tanggungjawab itu diserahkan pada orang yang tidak layak atau tidak mampu melaksanakannya. Harus kita pesan pada diri kita, andai kita ini tidak layak untuk menjadi pemimpin, kenapa hendak cemburu pada pemimpin? Maka berbahagialah jika anda dipimpin oleh orang yang lebih hebat dari anda.

Demikianlah sedikit sahaja yang dapat saya kongsi. Dan perkongsian ini bukanlah secara menyeluruh, tetapi masih banyak lagi perkara yang dapat kita cari, bagaimana hendak menjadi orang yang hebat. Yang hebat itu adalah yang paling TAQWA pada ALLAH…

Selamat mencuba dan bekerja lebih keras…

Assalamualaikum… 🙂

Advertisements