Inilah Hartaku

by Ikhwan

Jika engkau bertanya padaku tentang ilmu yang ada padaku untuk kau bandingkan dengan ilmu para ilmuan, Bentangkan tujuh lautan di hadapanmu, celupkan satu jarimu kedalamnya, dan angkat jarimu kembali. Tunggu sebentar air habis menitis dari jarimu. Dan sisa air yang masih melekat di jarimu itu adalah ilmuku, manakala lautan itu ilmu Allah. Jika kau bertanya bagaimana aku mencari ilmu, aku tidak mencelupkan jari ku kedalam lautan, kerana jika aku keluarkan jari itu darinya, maka akan keringlah air yang ada pada jari ku. Akan tetapi setiap hari aku mencedok darinya, dan aku menelan hanya seteguk sehari. Tidak lebih dan tidak kurang. Yang ku cari bukan ilmu yang bertimbun. Dicedok dengan ribuan bekas, kemudiannya bekas tersebut pecah lalu tumpah berselerakan air itu ke lautan asalnya atau tumpah di tanah, diserap atau pun kering dengan panas mentari, atau rosak dengan air hujan. Tapi yang aku dapati dari seteguk air yang ku telan itu hanyalah dari redha Allah, yang menghalalkan ke atasku apa yang aku ambil dariNya. Biarpun sedikit, ku telan sehingga ianya menjadi darah dagingku. Secedok yang ada dalam genggamanku, jika aku menjumpai fakir ilmu, maka aku sedekahkan apa yang ada dalam tanganku. Aku hanya berkongsi apa yang ku genggam ini dengan siapa yang mencintai apa yang sedang aku genggamkan ini. Dan apa yang aku dapati dari pemberianku itu, seakan-akan aku sedang menelannya juga, sedang aku telahpun mensedekahkannya. Itulah suatu perkara yang luar biasa untuk dilakukan. Tetapi bukanlah suatu yang mustahil. Hasilnya telah terbukti dan aku sedang melakukannya. Iaitu ketika aku mengambil ilmu sebagai hartaku. Yang selain itu adalah hartamu. Yang kau tolak buang itu menjadi milikku. Yang aku ketepikan itu, aku tidak hirau siapapun yang mencurinya. Kerna dalam genggamanku hanyalah ilmu.

Advertisements