Jadi seperti pokok

by Ikhwan

Pokok
Jika dilempar dengan batu
Sebesar manapon batu tersebut
Pokok tetap mengeluarkan buah
Paling tidak, bunga yang indah

Pokok
Walau ia menjadi tempat melepaskan geram
Ia tetap menjadi tempat teduhan
Melindungi dari ribut
Menjadi bayang menutup terik mentari

Pokok
Walaupun sepak terajang
Ia tetap tegak berdiam diri
Tidak menyusahkan sesiapa
Malah meluruhkan buah dari dahannya
Supaya mudah dijamah orang

Pokok
Walaupun kecil
Ada juga yang pemalu
Semalu namanya diketahui ramai
Namun adabnya siapapon tak kenal

Pokok
Walaupun besarnya dipandang semak
Namun setelah sakit
Kita tetap mencarinya
Dia tetap memberi akar ubat
Daun penawar luka
Walaupun dicaci maki

Pokok
Ianya makhluk Tuhan
Penuh penyabar
Sabar dengan ujian Tuhan
Sabar dengan kerenah insan
Tabah dan gagah
Keras dan lembut
Sesuai dengan sifatnya

Pokok
Bukan ciptaan terbaik
Manusia sebaik-baik ciptaan
Tapi pokok
Dialah menjadikan hidup manusia terbaik

Pokok
Walau dilempar bata sekalipon
Ia tetap melemparkan kita
Dengan buah yang sedap

Advertisements