Kehidupan Sosial – Ke arah pendidikan

by Ikhwan

Islam. Satu agama yang benar dan suci. Tidak pernah terlepas dari membincangkan segenap hal dalam kehidupan demi kesenangan penganutnya. Senang di dunia dan juga di akhirat.

Antara perkara yang sangat dituntut dalam Islam adalah mementingkan kehidupan sosial dalam kerangka Islam. Dimana penganutnya perlu memahami sosial yang telah digariskan oleh Allah SWT dan diaplikasikan oleh Rasulullah sebagai contoh.

Sosial dalam Islam adalah kehidupan sesama penganutnya atau Muslim dalam menjalani kehidupan seharian dan pemahaman cukup penting dalam rangka hendak membina sebuah negara maju yang aman dan damai. Sepertimana yang kita ketahui, muslim sesama muslim itu umpama sebuah keluarga. Maka sudah pastilah ada satu ikatan yang menyatukan hati dan jasad kita bersama. Umpama ikatan persaudaraan, yang sangat kukuh mesra, sayang menyayangi dan saling memahami antara satu sama lain.

Dalam erti kata lain, menjadi kewajipan bagi seluruh kaum muslim untuk memikirkan, dan gemar untuk membincangkan apa itu sosial dalam kerangka Islam. Segalanya demi Allah SWT.Iaitu perhubungan yang bersih.

Satu-satunya hubungan yang diredhai Allah, Rasul dan Malaikat hanyalah hubungan kerana Allah. Apa yang perlu difahami di sini adalah, dalam konteks hubungan sesama muslim, jalinan itu mestilah membawa kepada keredhaan Allah SWT. Maka hubungan itu adalah hubungan yang suci dari dosa, dan penuh dengan kerahmatan.

Maka di sini perlu kita sedar bahawa untuk mencapai redha Allah, maka jalan yang dilalui sepanjang perhubungan itu, mestilah juga mengikuti jalan yang diredhai Allah. Iaitu jalan-jalan yang telah dilalui Rasul. Tidak ada jalan yang lebih baik dari itu. Jalan yang termudah dan selamat. Yang penuh dengan kebahagiaan.

Sebagai seorang muslim, haruslah sedar bahawa tugasnya dalam sebuah keluarga masyarakat muslim adalah menyatukan hubungannya dan sesama muslim itu adalah dalam rangka menuju redha Allah sahaja. Tidak kira dalam apa jua bidang tugas, di mana saja situasi yang mampu membina perhubungan, tidak kiralah sama ada dalam konteks bisnes, sukan, pelajaran atau apa saja, mestilah mengikut jalan-jalan Rasulullah kerana semuanya telah Baginda tunjukkan.

Dengan itu sudah pastilah sebuah negara itu akan dapat berkembang pesat. Jika kita risaukan kondisi negara yang lambat pembangunan teknologinya, percayalah dengan perkembangan sahsiah masyarakat, tekonologi atau apa saja bidang pasti meningkat. Dalam keadaan keperibadian masyarakat yang tenat, tidak ada kecintaan pada ilmu, masalah sosial, negara pasti kehilangan mutiara-mutiara yang akan menyinari bumi singgahan sementara ini. Mutiara itulah generasi yang akan datang selepas era pembangunan pesat ini. Namun jika generasi itu terbantut maka pembangunan juga akan turut terbantut.

Kondisi yang menjanjikan kemajuan sesebuah negara adalah dari masyarakatnya sendiri. Jika masyarakat itu mempunyai kesedaran sosial yang bersih dan baik di sisi Allah, sudah pasti negara tersebut akan melahirkan satu tamadun yang terkenal di seluruh pelusuk dunia. Masyarakat yang sedar akan kepentingan ilmu, hubungan sesama masyarakat yang sama-sama bimbang dengan tahap pendidikan mereka, justeru akan melahirkan sebuah masyarakat yang berfikiran jauh. Terus menerus membimbangi tahapan pendidikan bagi generasi mereka akan datang.

Namun realiti pada hari ini, masyarakat mempunyai pemikiran yang terlalu cetek tahapnya. Terlalu singkat jalan hidup, yang dirisaukan oleh ibu-bapa hanyalah kewangan. Risau jika anaknya tidak dapat kerja pada masa hadapan. Dengan harta, kita binasa. Dengan ilmu, ilmu menjadi penjaga kita.

Golongan remaja tidak boleh disalahkan kerana itulah realiti yang sebenarnya. Iaitu pupusnya generasi awal yang pentingkan ilmu, dan tidak merasakan pentingnya ilmu terhadap masyarakat. Sekalipun sekolah telah ditubuhkan, namun itu bukanlah sesuatu yang dapat menjamin tahap ilmu yang meluas. Sekiranya ibu sibuk di dapur, maka tanggungjawab ayah pula dalam mendidik anak-anak demi melahirkan satu generasi yang tinggi tahap ilmunya.

Perlu kita sedar dan faham bahawa sosial itu bukanlah terhad hanya dengan perbualan antara dua orang, atau melawat rumah saudara. Akan tetapi, sesuatu tindakan itu mesti ada kesannya. Oleh itu, sosial dalam islam juga ada kesannya terhadap penganutnya. Sosial yang tidak terhad dalam ruang komunikasi sahaja. Bahkan kehidupan secara menyeluruh. Sedar bahawa sosial dalam Islam itu adalah demi mencapai redha Allah. Maka haruslah mengikut susun atur Allah SWT.

Advertisements