Menilai diri

by Ikhwan

Assalamualaikum

Dalam proses mencapai tingakatan iman yang tinggi, seseorang hamba itu perlu meletakkan dirinya serendah yang mungkin. Seperti mana pelajar yang hendak mencapai gred yang tinggi. Apabila dia melihat bahawa orang lain lebih hebat, maka tahulah dia bahawa dia masih rendah. Begitu jugalah dengan iman kita. Tak perlu melihat para imam. Lihat sajalah para sahabat Rasulullah SAW bagaimana kehidupan mereka. Selepas Ali r.a. selesai dari solatnya, dia memberi salam dan melihat ke wajah rakyatnya dan menangis. Lalu mereka bertanya, kenapa engkau menangis wahai amirul mukminin? Dia menjawab ” aku tidak lagi melihat wajah para sahabat pada hari ini sepertimana di zaman Rasulullah yang wajah mereka senantiasa dalam keadaan pucat lesu kerana selalu berjaga malam”.

Tahulah bahawa iman kita tidak setanding sahabat. Aliran pemikiran kita tidak selari dengan para sahabat. Kerana itulah apabila muncul seorang imam yang mengajak pada jalan yang benar, kita menentangnya. Ini kerana iman kita telah kurang. Kehidupan seharian tidak lagi dilakukan dengan sunnah Rasulullah SAW. Kerana itu kita perlu tahu bahawa diri kita masih lagi dalam kekurangan.

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu” ayat ini menunjukkan betapa luasnya ubudiyyah pada Ilahi yang kita sangka perjalanannya hanya singkat. Andai diberi 1000 tahun kehidupan pon, apakah kita menyangka bahawa kita akan menjadi sempurna? Bahkan kita belum lagi diuji, bagaimana kita kata kita sudah mempunyai iman yang tinggi.

Kehidupan seharian kita perlu diteliti semula supaya tidak terdapat rutin yang tersasar dari tuntutan Islam dan supaya masa yang singkat ini dihitung dan diisi dengan amal yang soleh. Jadilah golongan ghuraba’. Sahabat bertanya apa itu ghuraba’ wahai Rasulullah? Baginda menjawab ” iaitu orang-orang yang sedang bertambah pada ketika orang lain sedang berkurang.” Beruntunglah orang-orang yang meningkat imannya saat orang lain sedang lalai. Itulah insan terpilih.

Dalam proses membentuk diri dan jiwa ke arah yang benar, ada beberapa proses yang perlu diambil kira dalam kehidupan kita. Andai selesai satu daripadanya pon sudah cukup untuk membina diri kita. Kerana satu daripadanya merupakan amal yang cukup penting. Itulah amalan yang tercatat dalam al-Quran serta amalan para sahabat Rasulullah.

MUHASABAH DIRI

Terdapat beberapa tingkatan atau proses dalam membentuk diri kita atau yang dipanggil Murabathah ( persiapan / siap-siaga ).

  • musyarathah ( penetapan syarat )
  • muraqabah ( pengawasan )
  • muhasabah ( penilaian )
  • mu’aqabah ( menghukum diri )
  • mujahadah ( bersungguh-sungguh )
  • mu’atabah ( mencela diri )

Inilah beberapa proses yang disenaraikan oleh imam Ghazzali dalam kitabnya ihya ulumuddin. Berdasarkan pemahaman kita, jelaslah betapa benarnya sarana-sarana ini. Hatta hendak makan pon kita menetapkan syarat, apatah lagi pentingnya menetapkan syarat dalam mendidik hati.  Begitulah juga pentingnya dengan proses-proses lain seperti muhasabah diri. Seperti kisah Abu Bakar as-Siddiq ketika hampir wafat, dia berkata ” tiada orang yang lebih aku cintai selain Umar al-Khattab”. Kemudian dia bertanya pada Aisyah r.a. apa yang disebutnya. Dan Aisyah mengulangi kata-kata Abu Bakar. Lalu Abu Bakar berkata ” Tiada orang yang lebih aku hormati selain dari Umar”

Lihatlah kalian betapa berjaga-jaga dalam tutur kata. Sehingga datang ajalpun dia masih mencari kesalahannya. Seperti kisah Umar al-Khattab. Dia memaksa sahabatnya dengan keras supaya memberitahu apa kesalahannya. Tidak seperti kita, menyebunyikan kesalahan diri sendiri tanpa meminta maaf, kemudian menyebarkan aib orang lain. Kemudian meminta agar dimakbulkan doa. Adakah akan termakbul?

Imam Ghazzali juga menetapkan tujuh tempat yang perlu kita selidiki terhadap diri sendiri. Ini baru kes menyemak diri sendiri. Belum lagi membina tamadun atau negara islam. 😦 Andai diri sendiri sudah lemah, bagaimana dengan negara.

  • mata
  • hati
  • mulut
  • tangan
  • kaki
  • perut
  • ketaatannya

Maaf sebab post ana tak tersusun dan perkara ni dah pon ana bagitau. :p

Kita menyangka kita terlepas dari dosa sedangkan masalah lisan pon belum selesai apatah lagi masalah hati. Suatu ketika Imam syafie ditanya satu soalan lalu dia diamkan. Orang tersebut marah-marah dan semua orang bertanya padanya kenapa engkau diam wahai Syafie? “Aku sedang berfikir adakah memberi jawapan atau diam itu lebih baik di sisi Allah.”

MasyaAllah Subhanallah malu rasanya kalau bersama mereka. Apatah lagi hendak bersama Rasulullah. Baginda menangis merindui kita ummati ummati ummati.

Sama-samalah kita berusaha bersungguh untuk membentuk diri dan keluarga serta masyarakat. Perbaikilah amalan harian kita. Mulakan dengan membentuk hati. Maka tubuh akan mengikut hati.

Rujukan :

  • intisari ihya ulumuddin (Said Hawa)
  • Penyakit rohani dan penyembuhannya (Ibnu Qayyim)
  • Penenang jiwa (Imam Ghazzali)

Diriku tidak miliki apa-apa bahkan semuanya datang dari Allah. 🙂

“Tuhan menyayangi hambaNya yang tahu darjat dirinya”(Umar Abd Aziz)

Advertisements