Orang pertama dan telaga Haudh

by Ikhwan

1. Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Nabi S.A.W. bersabda: “Aku adalah penghulu dari seluruh anak Adam, yang pertama kali keluar dari alam kubur setelah bumi ini terbelah, dan yang pertama memberi syafaat.”

2. Al-Tarmizi meriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Aku adalah penghulu dari seluruh anak Adam di tanganku panji-panji yang terpuji, tanpa aku membanggakan diri, tidak seorang nabi hari itu baik Adam mahupun lain-lainnya, melainkan berada dibawah naungan panji-panjiku, dan akulah yang pertama keluar setelah bumi ini terbelah, tanpa membanggakan diri.”

3. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin As bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Telaga Haudh pemberian Allah kepada aku, (luasnya) sejauh perjalanan sebulan, airnya lebih putih dari susu, lebih harum dari kasturi, dan piala-pialanya (gayung) sebanyak bintang di langit, sesiapa yang minum sekali teguk (sahaja) tidak haus selama-lamanya.”

4. Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Umatku akan mendatangi Haudh, sedang aku sibuk menghalau orang ramai kepadanya bagaikan seseorang menghalau untanya.” Maka para sahabat bertanya : “Apakah engkau dapat mengenali kami ya Rasulullah?” Beliau menjawab: ” Ya, ada tanda-tanda pengenalmu, yang tidak ada pada orang lain, kamu akan datang kepadaku dengan sinar cahaya pada wajah dan kaki, kerana bekas air wuduk.”

Advertisements